KONSEP PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Pengertian Nikah :
Nikah atau kahwin mempunyai pengertian yang ditakrifkan sebagai berikut:
(a) Nikah pada bahasa : kumpul, cantum dan himpun.
(b) Nikah pada istilah syara’ : Dari segi syara’, ia mempunyai dua pengertian:
(i) Akad yang menghalalkan bagi setiap pasangan lelaki dan perempuan untuk bersama (bersetubuh, bersentuh, bermesra ghairah).
(ii) Akad yang memberi tempat kepada seseroang lelaki itu memiliki istimta’ (bersedap-sedapan dan bermesra dengan seseorang wanita dan juga seseorang wanita dengan seseorang lelaki).
Rukun Nikah :
Untuk melaksanakan satu-satu perkahwinan yang diakui sah di sisi syarak hendaklah mempunyai perkara-perakara berikut sebagai rukunnya , iaitu :
1. Lelaki yang bakal menjadi suami.
2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
3. Wali yang berhak mengahwinkan perempuan itu.
4. Dua orang lelaki yang menjadi saksi dalam perkahwinan itu.
5. Lafaz yang mengandungi ijab dan qabul.
Hukum Kahwin :
Hukum berkahwin adalah wajib bagi orang yang mampu mengadakan nafkah zahir dan batin serta sangat mengingininya kerana takut terjebak ke lembah maksiat zina, jika ia tidak berkahwin.
Menjaga diri dari melakukan zina adalah wajib dan jika kewajipan ini dapat dipenuhi dengan kahwin, maka perkahwinan itu hukumnya wajib. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Wahai golongan pemuda, sesiapa di antara kamu mampu berkahwin maka hendaklah ia berkahwin kerana dengan berkahwin itu ia dapat menundukkan pandangan mata dan dapat mengekang hawa nafsu dan sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah ia berpuasa kerana dengan berpuasa dapat mengekang nafsunya.”
(Al-Bukhari dan Muslim)
يا معشر الشباب، من استطاع منكم الباءة فليتزوج، فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج، وإن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء.
Selain wajib, hukum berkahwin juga sunat terutamanya bagi mereka yang ingin berkahwin tetapi masih mampu bersabar dan tidak bimbang jatuh ke lembah maksiat.
Sehubungan itu, Allah S.W.T. telah berfirman yang maksudnya:
“Maka kahwinilah kamu mana-mana perempuan yang kamu pandang baik berdua, bertiga atau berempat, tetapi jika kamu merasakan bimbang tidak dapat melakukan keadilah maka kahwinilah seorang sahaja”.
(al-Nisa’ : ayat 3)
فانكحوا ما طاب لكم من النساء مثنى وثلاث ورباع، وإن خفتم ألا تعدلوا فواحدة...
Dari kenyataan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa nikah itu pada asalnya harus sahaja tetapi ia boleh jadi berubah kepada hukum-hukum lain mengikut keadaan dan sebabnya, iaitu :
1. Menjadi wajib bagi orang-orang yang cukup syarat-syarat serta takut dirinya terjatuh ke dalam perzinaan jika tidak berkahwin. Di samping itu, ia mampu memberikan nafkah perkahwinan yang terdiri dari mahar, nafkah isteri dan memenuhi hak dan tanggungjawab lainnya.
2. Menjadi sunat bagi orang yang ada keinginan dan cukup syarat-syaratnya sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa dari kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah ia berkahwin kerana perkahwinan itu boleh menetapkan pandangan dan memelihara kehormatan.”
(Hadith Bukhari & Muslim)
Sabda baginda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Berkahwinlah kamu, kerana sesungguhnya aku bangga dengan umat yang banyak. Janganlah kamu menjadi seperti para Rahib kaum Nasrani”.
(Riwayat Baihaqi dari hadith Abi Umamah)
3. Menjadi haram bagi orang yang tidak mempunyai syarat-syarat yang cukup serta bertujuan melakukan penganiayaan terhadap bakal isterinya. Jika berkahwin, ia akan berlaku zalim ke atas wanita dan tidak bersikap adil jika berpoligami.
4. Menjadi makruh, iaitu bernikah dengan perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan masih belum memutuskan pinangannya itu atau berkahwin dengan perempuan yang telah bercerai talak tiga untuk mengharuskan suaminya kahwin semula.
5. Harus, ini adalah hukum asal bagi perkahwinan.
Hikmat Nikah :
Bila ditinjau dengan cermat ternyatalah bahawa nikah itu mengandungi beberapa faedah yang banyak bagi kebaikan manusia di antaranya :
1. Dapat memenuhi perasaan semulajadi yang memang ada pada tiap-tap manusia dengan cara yang diredhai oleh Allah.
2. Dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam perzinaan dan kejahatan yang boleh merosakkan pekerti manusia yang tinggi itu.
3. Untuk menyusun dan mengatur rumahtangga atas dasar kasih mesra dan kasih sayang yang terjalin di antara lelaki dan perempuan.
4. Dapat melahirkan anak dan mengekalkan keturunan (zuriat) dengan jalan yang baik dan diiktiraf oleh masyarakat.
5. Dapat menjadi satu ikatan yang teguh untuk merapatkan hubungan antara keluarga lelaki dengan keluarga perempuan.
6. Perkahwinan dapat melahirkan manusia yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah Allah S.W.T. Perkahwinan adalah satu amanah yang mesti ditunaikan oleh lelaki dan wanita.
7. Amal ibadat orang yang berkahwin mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah berbanding amal ibadat orang yang belum berkahwin.
8. Ketenteraman jiwa dan perasaan dapat dinikmati melalui perkahwinan.
9. Melalui perkahwinan, keredhaan Allah akan diperolehi sekaligus membawa kepada kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
PEMILIHAN JODOH :
Memilih Calon Isteri
1. Wanita yang beragama dan berakhlak.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara, kerana harta, kecantikannya, kerana akhlak dan kerana agamanya. Kahwinilah seorang wanita itu kerana agamanya kerana engkau akan dapat memperoleh kententeraman.”
(Riwayat al-Bukhari)
Ciri-ciri agama dan akhlak adalah merupakan ciri yang paling utama, kemudian barulah ciri-ciri yang lain. Ciri-ciri itu merupakan ciri-ciri tambahan bukannya ciri asas. Kecantikan dan kekayaan tidak bernilai jika tidak disertai nilai agama dan akhlak. Rasulullah s.a.w. dengan tegas melarang seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita atas dasar yang salah. Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya :
“Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikannya, kerana kecantikannya akan memusnahkan dirinya. Janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana kekayaannya, kerana kekayaannya akan membuatnya durhaka. Sesungguhnya seorang hamba yang hitam tetapi beragama itu adalah lebih baik kamu berkahwin dengannya daripada perempuan lain.’
(Riwayat Ibnu Hiban)
Kenapa Rasulullah s.a.w. sangat mementingkan sifat beragama? Kerana seorang isteri atau suami yang kuat agama itu tidak akan mencuaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing yang telah diamanahkan oleh Allah kepadanya. Sebab itulah dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Agama bahawa peratus yang paling besar menyebabkan runtuhnya rumahtangga ialah kurangnya pegangan agama. Pecahan peratusnya adalah seperti berikut :
* Kurangnya pendidikan dan pegangan agama sebanyak | 25% |
* Campurtangan ibubapa sebanyak | 20% |
* Masalah hubungan seks sebanyak | 20% |
* Masalah kewangan sebanyak | 15% |
* Sebab-sebab lain sebanyak | 20% |
Jumlah | 100% |
Jika faktor kecantikan dan kekayaan menjadi sebab utama dalam memilih pasangan hidup, maka ia tidak akan bertahan lama. Kerana kecantikan mahupun kekayaannya itu akan menjadikan kita tidak bersyukur, malah boleh membuat kita menjadi kufur terhadap Allah S.W.T.
Sesungguhnya perempuan yang cantik, tetapi tidak menjalankan perintah agama tidak akan membawa kebahagian. Tetapi sebaliknya akan menimbulkan bencana dan malapetaka. Kerana dengan kecantikan yang dimilikinya itu ia merasa bangga dan akhirnya lupa kepada hakikat kehidupan ini.
Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya :
“Sesiapa yang mengahwini wanita kerana pangkatnya, Allah tidak akan menambah pangkatnya, kecuali kehinaan. Sesiapa yang berkahwin dengan seorang wanita kerana kekayaan, Allah tidak menambah sesuatu (lelaki berkenaan) kecuali kemiskinan. Sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya (yang berkedudukan), Allah akan menjatuhkan kedudukannya ke tahap paling hina. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana ia (lelaki berkenaan) ingin menjaga dirinya dari melakukan maksiat zina atau ingin menyambung silaturrahim, Allah akan memberkatinya dan isterinya.”
Rasulullah s.a.w ketika berkahwin dengan Siti Khadijah r.a baginda berusia 25 tahun dan Siti Khadijah pula ketika itu telah menjangkau usia sekitar 40 tahun. Namun begitu, perkahwinan baginda dan Siti Khadijah itu berhasil, serasi dan bahagia. Ini kerana perkahwinan baginda merupakan ‘the best of wedding’, perkahwinan antara dua akal fikiran dan antara dua peribadi yang sama-sama mulia.
2. Dilarang mengahwini wanita musyrik.
Orang Islam dilarang berkahwin dengan wanita musyrik. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Janganlah kamu berkahwin dengan wanita musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman lebih baik daripada wanita musyrik walaupun keadaannya menarik hati kamu.”
(Surah al-Baqarah : 221)
Perkahwinan adalah satu kesatuan, keyakinan dan persamaan akidah. Ini merupakan jaminan bagi tercipta kerukunan, kemesraaan dan ketenteraman dalam kehidupan suami isteri.
Justeru itu, Allah S.W.T. mengharamkan orang Islam berkahwin dengan orang yang bukan Islam sebab perkahwinan itu tidak dapat mewujudkan ikatan kerohanian.
3. Wanita yang subur.
Jadikanlah faktor agama itu sebagai faktor yang paling penting dalam memilih isteri, sedangkan faktor kecantikan dan kekayaan merupakan faktor yang kedua setelah faktor agama. Di samping itu, faktor keturunan atau kesuburan perlu juga diperhatikan kerana salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk mendapat zuriat.
Zuriat tidak akan dapat kita hasilkan kecuali daripada wanita yang subur dan sihat. Oleh sebab itu, di antara pedoman memilih isteri disamping kuat agamanya ia juga harus subur dan boleh melahirkan ramai anak. Untuk mengetahui bahawa dia subur atau tidak, maka perhatikanlah keluargannya.
Anak merupakan cahaya mata dan perhiasan bagi suami isteri. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik utnuk menjadi harapan.”
(Surah al-Khafi : 46)
Islam menganjurkan kaum lelaki mencari calon isteri yang subur, iaitu tidak mandul, juga yang sihat dan tidak berpenyakit sama ada keturunan ataupun penyakit lain yang dapat membantutkan kehamilan dan kelahiran anak.
Untuk mengetahui subur atau tidak seseorang perempuan itu pula dapatlah diketahui dengan memerhatikan keadaan ibunya sebagai ukuran pertama. Jika ibunya itu sihat dan subur, maka lazimnya kesuburan itu akan berada pada anak perempuannya pula.
4. Hendaklah kufu atau hampir-hampir kufu :
Hendaklah kufu atau hampir-hampir kufu antara suami dan isteri sama ada dari segi umur, status dalam masyarakat, tahap pengetahuan dan taraf ekonomi, kerana kufunya dalam perkara-perkara tersebut adalah di antara faktor penting yang dapat mengekalkan perkongsian hidup dan kemesraan pergaulan suami isteri.
Pernah Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar r.a. meminang Fatimah anak Rasulullah s.a.w. tetapi ditolak oleh Rasulullah s.a.w. dan kata baginda, “Sesungguhnya dia terlalu muda”, dan apabila Saiyidina Ali pergi meminang, baginda terima dan dikahwinkan. Demikianlah panduan Islam untuk memilih bakal isteri.
Kalau hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki bagaimana cara untuk memilih isteri yang baik, maka ukuran inilah juga patut digunakan oleh kaum wanita untuk memilih bakal suaminya. Islam tidak menghalang kaum wanita membuat pilihan malah sebelum seseorang wanita itu dikahwini, Islam mengkehendaki supaya pihak wali memohon keizinan terlebih dahulu, kerana kahwin paksa akan meninggalkan risiko yang amat buruk.
Menurut al-Imam al-Ghazzali, untuk mencari pasangan hidup di kalangan wanita, dianjurkan lapan perkara berikut:
1. Beragama.
2. Berperangai baik.
3. Murah mas kahwin.
4. Subur.
5. Anak dara (gadis).
6. Keturunan.
7. Sihat dan cantik.
8. Bukan keluarga yang hampir.
Memilih Calon Suami :
Bagi memilih calon suami, seseorang wanita perlulah memerhatikan ciri-ciri yang ada pada seseorang lelaki. Antara ciri-ciri tersebut ialah :
1. Lelaki yang beragama.
Lelaki yang mempunyai sifat kepimpinan dan bertanggungjawab terhadap rumahtangga.
Mengenai hal ini, dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada ibu bapa dan wali khususnya dengan bersabda yang bermaksud:
“Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuan kamu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya, nikahkanlah ia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, maka akan terjadi fitnah di (muka) bumi dan kerosakan yang amat luas.”
Inilah asas utama yang kuat dan kukuh, prinsip yang sihat dan kriteria yang tepat dalam pemilihan bakal suami.
Sehubungan itulah, pernah satu ketika seorang lelaki datang menemui al-Hassan bin ‘Ali r.a untuk meminta nasihat tentang lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan anak gadisnya. Ia bertanya: “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki, dengan siapakah yang terbaiknya aku mengahwinkannya?”
“Al-Hassan menjawab: “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah, sebab kalau ia mencintai isterinya ia pasti menghormatinya, tetapi kalau tidak menyukainya ia pasti tidak akan berlaku zalim terhadapnya.”
2. Mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan halal. Seorang suami yang mampu menanggung nafkah anak dan isterinya.
3. Bersikap baik terhadap isteri.
Tidak bersikap kasar atau garang terhadap isterinya.
4. Sentiasa bersedia memberi peluang kepada isteri menyampaikan pandangan dan pendapat. Tidak bersikap diktator dan kejam.
5. Boleh menerima kelemahan dan kekurangan isteri. Tidak menyalahkan isterinya.
6. Bersedia membantu isteri dalam apa jua keadaan pun. Sentiasa bersedia menolong isterinya.
7. Sentiasa menjaga kewibawaan isteri. Tidak merendahkan isteri atau memperkecilkan kebolehannya.
8. Sentiasa bersedia membimbing isteri.
Seorang suami wajib mengajar isterinya mengenai hukum hakam agama. Kalau tidak dapat, wajib mencari guru untuk mengajarnya.
9. Menghormati dan menyayangi keluarga isteri.
Suami perlu menganggap keluarga isteri seperti keluarganya juga dari segi kasih sayang.
10. Menjadi ayah yang baik dan penyayang kepada anak-anaknya. Boleh menjadi teladan yang baik kepada anak-anak khususnya dari segi agama.
11. Mencari persamaan (kufu’) antara calon isteri dan suami dalam hal agama dan akhlak.
Dalam memilih bakal suami, Islam tidak membenarkan seorang bapa mengahwinkan anak gadisnya hanya dengan lelaki yang sanggup membayar mas kahwin yang tinggi, atau yang berpangkat tinggi dan kaya sahaja tanpa memandang dari segi penghayatan agama dan akhlaknya.
Ini kerana, Islam tidak memandang anak gadis sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Islam juga tidak menganggap perkahwinan sebagai kontrak perniagaan. Sebaliknya, Islam memandangnya sebagai pertemuan antara dua sifat utama yang ada pada seseorang lelaki dan perempuan supaya dapat mewujudkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta mendapat keturunan yang baik-baik.
12. Hindari memilih lelaki yang fasik.
Berhubung perkara ini, Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti dia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri.”
13. Sihat zahir dan batin.
Bagi menjamin kelangsungan rumah tangga yang bahagia, Islam sekali lagi mengambil kira faktor kesihatan bakal suami. Ini kerana calon suami yang mempunyai penyakit zahir dan batin seperti sakit kusta, sakit jiwa, lemah tenaga batin atau mati pucuk boleh membantutkan keharmonian antara suami isteri.
14. Haram mengahwini lelaki musyrik.
Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya :
“Apabila datang seseorang meminang (anakmu) yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya maka kahwinkanlah (anakmu itu). Jika kamu tidak melakukannya, maka akan berlaku fitnah dalam masyarakat dan kerosakan yang besar.”
(Riwayat al-Tirmidzi)
Maksud lelaki beragama itu bukanlah bererti mereka yang telah lulus dari sekolah agama atau mempunyai ijazah pengajian Islam, tetapi yang penting ialah mereka yang mengamalkan ajaran agama serta menjadikannya sebagai panduan utama dalam kehidupan sehari-hari.
2 comments:
tahniah ustazah!!
perkongsian yg amt bergune..
teruskan belajar munakahat dgn bersungguh2 ye..he3 (^_^)
hehe...syukran...
memang sangat berguna...
so,jangan belajar main2...
al-ilmu fis sudur la fil kutub....
Post a Comment