Halal. Apa yang terbayang di fikiran anda perkataan tersebut pertama kali dibaca?
Telahan saya, yang paling popular pastilah ’logo Jakim bulat dengan tulisan jawi Halal ditengahnya’
terbayang dulu dalam minda. Benar, logo itulah yang akan pertama dicari bila kita ingin
membeli makanan atau ’makan malam’ di mana jua restoran.
Kita akan merasa lapang dada bila melihat logo hitam-putih-hijau itu
terpampang besar depan pintu masuk restoran utama.
Tetapi, adakah ia mewakili maksud keseluruhan perkataan ’halal’ dalam ayat Al-Quran di atas?
’Rasanya,, ituah maksud halal yang saya fahami selama ini’ fikir sesetengah orang.
Benar, tapi tidak 100% tepat,
kerana jika kita merenunginya dengan kedua belah mata hati yang dibuka besar-besar,
baru kita perasan, maksud halal sebenar dalam Islam begantung kepada 2 faktor iaitu :
1. Halal dari sudut hukum
2. Halal dari sudut sumber
1. HALAL DARI SUDUT HUKUM
Sebut tentang halal dari sudut hukum, kita semua arif bahawa binatang yang tidak
disembelih mengikut hukum syarak, babi, anjing, binatang buas dan arak
dikategorikan sebagai tidak halal dan haram dimakan.
Dengan kata lain, ayam ‘katok’, lembu langgar lari dan jus buahan 15% alkohol
terkeluar dari senarai ’barang dapur yang hendak dibeli’.
Selalunya, kita sangat berwaspada dengan makanan sebegini.
Lainlah jika ‘skru iman sudah longgar’,
tidak hairanlah bila ada orang islam yang selamba meneguk arak
macam tiada air lain untuk diminum, atau yang lebih parah,
ada yang mendakwa
‘saya tak rasa arak haram sebab tiada ayat Al-Quran yang jelas mengharamkannya’.
Jika anda bertemu orang ini, larilah sekuat hati daripadanya.
Kalau boleh lebih laju dari Usain Blot (pemegang rekod dunia lari 100 meter),
lakukanlah, kerana api neraka lebih dekat dengan mereka.
Itu yang pertama. Kesimpulannya, jika ayam untuk masakan rendang anda dibeli
dari rumah tukang sembelih yang ada ’Tok pekong merah kecil depan rumah’,
maka saya pesan, cepat-cepatlah muntahkannya!
Sebabnya jika sudah meresap jadi darah daging,
takut-takut doa munajat anda tidak mustajab pula,
kerana Rasulullah S.A.W sudah lama menyampaikan amaran :
“Seorang lelaki berdo’a, Ya… Allah, Ya… Allah, sedangkan makanannya haram,
minumannya haram, dan pakaiannya haram,
ia diberi makan(sejak kecilnya) dengan yang haram.
Bagaimana mungkin doanya dikabulkan “
(Riwayat Muslim)
Perkara kedua yang anda harus perhatikan ialah jenis makanan yang dibeli dari kedai,
adakah ia benar-benar ‘halal’ walaupun pada zahirnya halal seperti ubatan,
vitamin dan sebagainya. Ini kerana, bagi sesetengah makanan tersebut,
kandungan gelatin, emulsifier, MSG, renet, pengawet, plasma darah dan
sebagainya yang dicampurkan ketika proses pembuatan makanan,
sebahagiannya mungkin berasal dari unsur-unsur tidak halal
seperti haiwan yang tidak disembelih.
Cara paling mudah untuk mengelakkan tersalah beli makanan ‘halal tapi haram’ ialah,
sekali lagi, kita bertaklid sahaja dengan logo Halal JAKIM.
Jika makanan itu diimport dari luar negara, cari sahaja tulisan ‘halal’
yang mungkin dikeluarkan dari pihak penguasa halal negara tersebut.
Perkara ketiga ialah, makanan yang dihidangkan dari restoran bertaraf ‘syubhah’.
Ia bermaksud, restoran yang kelihatan seperti milik orang islam,
tapi pekerjanya ‘cakap InsyaAllah pun tergagap-gagap’.
Saya cadangkan, untuk keselamatan iman dan rohani anda,
jauhilah restoran sebegitu.
Tambahan pula negara kita tidak ‘kekeringan’ restoran untuk dijadikan alternatif menggantikannya.
Jika ada yang bertanya, ’
bagaimana ustaz jika tukang jualnya semua pakai songkok ketayap sepanjang masa?’
Jawapan saya, Jika restorannya penuh bergantung ayat Al-Quran (macam masuk masjid pula),
pelayannya semua lengkap berjubah-berserban
hatta tandasnya pun bertampal doa masuk-keluar tandas,
tetapi taukeh & tukang masaknya tidak pasti muslim atau tidak,
saya sarankan sekali lagi :
tinggalkan restoran itu sebab ia termasuk dalam kategori restoran syubhah.
Soalnya, mengapa saya amat menggalakkan anda menjauhi restoran seperti itu?
Sebabnya, ia sudah terang lagi tersuluh melanggar ’pantang & peringatan’ Rasulullah di bawah :
”Sesungguhnya yang halal itu sudah jelas dan yang haram itu sudah jelas,
di antara keduanya ada perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia.
Barangsiapa berhati-hati dengan yang syubhah (menjauhinya),
ia telah memelihara agama dan kehormatannya.
Barangsiapa yang terjatuh pada syubhah,
maka ia telah terjerumus pada yang haram.”
(Riwayat Muslim)
Hadis di atas diucapkan Nabi Muhammad S.A.W lebih dari 14 abad silam.
Baginda memperingatkan kita agar berhati-hati serta bersikap memilih dalam
masalah halal dan haram serta sesuatu yang tidak jelas di antara keduanya.
Hal ini termasuklah rezeki yang diperolehi, makanan yang diambil,
pakaian yang dikenakan serta nafkah yang diberikan kepada keluarga kita.
Semuanya harus berasal dari yang halal, baik secara hukum maupun secara zat.
Kesimpulannya, jalan paling selamat untuk mengetahui halal-haramnya makanan atau restoran ialah,
sentiasalah merujuk kepada autoriti seperti Jakim.
Berhati-hatilah dengan makanan dari hotel,
restoran luar negara serta restoran yang bukan milik
& dioperasikan orang islam 100% kecuali ia mendapat sijil pengesahan Jakim.
Jadikan darah yang mengalir serta daging yang terbentuk dalam diri anda
& keluarga disahkan halal 100%. Barulah darinya,
Allah mudah perkenankan doa dan perturunkan keberkatan dalam hidup.
2. HALAL DARI SUDUT SUMBER
Saya akan berikan empat contoh betapa herotnya kefahaman masyarakat bila dikaitkan dengan maksud faktor ’halal’ kedua.
1. Rasuah : Orang kita akan cepat-cepat muntah dan geli-geleman jika diajak ’marilah makan lauk kari kh_nz_r ini’ (letakkan huruf I pada tempat kosong itu, dan anda tahulah nama haiwannya), tetapi mereka rileks, cool dan tenang saja bila membelanja anak-anak makan luar dari duit ’tumbuk rusuk’ yang diterima dari ’taukeh besar’ pagi tadi.
2. Judi : Seorang bapa marah-marah anak lelakinya mendapat nombor kedua tercorot dalam kelas dengan berkata ’along, apalah engkau ni lembab sangat, padahal mak ayah kau dua-dua habis belajar universiti!’ tapi dia tak perasan anak sulungnya itu hampir setiap hari diberi duit belanja sekolah hasil dari wang kemenangan nombor ekor ’jackpot’ terbesar.
3. Riba : ’Confirm ke saya boleh dapat 14 % untung tiap tahun kalau simpan duit dalam akaun ’fix deposit’ ni?’ Soal seorang lelaki dengan penuh ghairah selepas mendengar penerangan agen bank konvensionalnya, tanpa menghiraukan adakah simpanan itu dijalankan secara islamik atau tidak.
4. Untung tak patuh syariah : ’Wah, bolehlah kita buat kenduri doa kesyukuran hasil untung besar dalam main saham ni…. berkat sikit rezeki kita kan?’ Cadang seorang suami kepada isterinya, sedangkan keuntungan pelaburan saham tersebut jelas diperoleh dari kaunter saham yang tidak patuh syariah.
Rasuah, judi, riba dan keuntungan tidak patuh syariah. Empat contoh di atas mewakili 4 jenis sumber rezeki yang selalu dipandang enteng halal-haramnya oleh masyarakat kita. Soalnya, mengapa ia dianggap ’core’ perbincangan?
Mudah sahaja. Masyarakat kita senang membezakan haramnya makanan dalam bentuk zahir, tetapi sering salah faham dengan definisi halal sumber wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli rezeki tersebut. Jika nak kata mereka tidak faham ’ini judi, haram!’, rasanya dah berbuih mulut ustaz ustazah menerangkan haramnya judi dalam ceramah. Tetapi apakan daya, kilauan wang ringgit ’mudah, banyak & pantas’ lebih menyilaukan mata. Disebabkan itulah sesetengah kita buat-buat tidak tahu, sanggup memejamkan mata & memekakkan telinga.
Yang kasihannya, mereka akan mengeluh sakan bila mendapati anak mereka tidak secemerlang yang diharapkan dalam pelajaran. ’Lembablah, cikgu tusyen tak pandai ajarlah, anak suka main games jelah,atau asyik ber’faceboook’ 24 jam!’. Macam-macam faktor luaran yang cuba dicari untuk dikambing-hitamkan bagi menutup kesalahan sendiri.
RASUAH, KORUPSI, DUIT KOPI, HADIAH TAUKEH BESAR, SAMA SAJA….
Ambil contoh rasuah. Saya ingin tekankan rasuah dalam artikel ini kerana ia hampir menjadi kebiasaan, dianggap ‘semi-halal’ dan sudah mula berakar-umbi dalam masyarakat. Bayangkan betapa teruknya gejala haram ini sehingga ada yang mendakwa : ‘alah, takpe ambil rasuah seribu-dua… nanti taubatlah ke Mekah, buat kenduri doa selamat & sedekah-lah sikit ke anak yatim!’
Ujar saya, ‘kalau nak bersihkan harta dari sumber halal, bolehlah ikut cara tu…tapi kalau dah terang-terang haram, tak dapek doh….’
Ganjil tetapi benar. Rasuah sudah dianggap ‘o.k’ bagi sebilangan masyarakat islam sekarang. Mungkin disebabkan faktor tarikan materialistik, kita begitu mudah mengambil jalan singkat mengambil rezeki haram untuk diberikan kepada keluarga. Masalahnya, mustahil impian ‘berkat anak hafaz Al-Quran sejakkecil’ termakbul andai sumbernya tak berkat. Kalau beginilah caranya, minum air Yasin sebaldi, makan kismis doa satu kontena pun tak jalan!
Ramai yang sedar rasuah itu haram, tetapi bila ia bertukar ‘nama samaran’ lain seperti korupsi, duit tumbuk rusuk, hadiah, sogokan, Ar-Risywah (Arab), makan suap, transaksi gelap, duit bawah meja, duit pelincir, ‘under counter payment’, duit kopi dan sebagainya, ramai yang menganggap statusnya pun bertukar dari haram 100% kepada haram 50% + halal 50%! Bagi islam, tak kira-lah apa istilahnya, ulama hanya letakkan satu istilah sahaja untuk semua itu – rasuah dan haram.
Mungkin barangkali, ada yang menganggap ’Ustaz, ini bukan rasuah, tapi hadiah..’.
Memang mudah untuk menukar makna ’rasuah’ kepada ’hadiah’, lebih-lebih lagi kalau ia berupa 4 ‘sport rim’ kereta tercanggih, ’free renovate anjung depan rumah’ atau yang lebih menggentarkan jiwa ’RM 50k cash money untuk window shopping ketika umrah’.
Itu kata kita. Tapi Malaikat pencatat dosa tetap mencatatnya sebagai ‘satu lagi rezeki haram hari ini. Muktamad!.’
KELIRU MANA RASUAH, MANA SATU HADIAH?
Ramai yang mendakwa mereka keliru samada ‘duit RM 50k tadi rasuah ke, hadiah?’. Menurut pakar, secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan telah disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri atau bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.
Kalau nak disenaraikan definisi serta perincian rasmi rasuah, memang panjang penjelasannya. Tetapi bagi saya, mudah cerita hendak tahu samada rasuah atau tidak, cuba jawab soalan ini : ’kalaulah saya tidak bekerja di bahagian ini/ tidak menyelia projek ini, adakah seseorang itu begitu mudah berikan ’hadiah’ kepada saya secara ikhlas?
Jika jawapannya ‘Ya’ (hampir mustahil), maknanya anda bolehlah belanjakan semua RM 50k itu, beli kurma Ajwa Rasul untuk lajukan minda anak menghafaz Al-Quran. Tetapi jika ‘tidak’ (99% pasti ini jawapannya), sebelum nasi menjadi bubur, lebih baik anda kuatkan keberanian untuk berkata ’tidak’kepada pemberian mereka.
Saya kongsikan cara mudah untuk membezakan rasuah dengan hadiah ini bukannya apa, takut-takut, jika kita memandang enteng masalah rezeki bersumber rasuah, kita sebenarnya sedang menjauhkan berkah dari anak ’bakal hafiz dalam pembikinan’ itu. Yang paling merisaukan lagi bukan setakat itu, kita perlahan-lahan sedang menempah tiket (bukan seorang, tapi sekeluarga) ke neraka!.
Itu yang ’dijanjikan’ Rasulullah kepada mereka yang menerima rezeki dari sumber haram secara hukmi, (berdasarkan hukum-hakam kerana caranya bercanggah dengan syariah islam seperti rasuah, curi, riba, judi dan lain-lain) : nerakalah pembakar daging-daging yang tumbuh darinya :
Setiap daging (badan) yang dihasilkan dari sumber yang haram maka hanya nerakalah yang patut menerimanya.
(Riwayat Tarmidzi
KESIMPULAN
’Tapi ustaz, bukan mudah untuk bersihkan rezeki kita 100% dari sumber-sumber tidak patuh Redho Allah itu…’ fikir sesetengah orang.
Ya benar, namun pilihan menerima atau menolak 10 ringgit duit syubhah masih terletak di tangan anda. Andai keperihatinan kita untuk melahirkan ’semua anak hafaz Al-Quran’ yang diberkati dan memberkati masih membara, kita akan benar-benar selektif demi memastikan semua cabang rezeki keluarga 100% halal. Tetapi, jika kita sudah tidak kisah soal rahmat, tak peduli kalau berkah dicabut dalam hidup, tidak risau samada akhir hidup sekeluarga menghala ke neraka atau hampir ke syurga, kita akan tetap berpendirian ’lecehlah ustaz ni, asyik celoteh halal-haram saja… lagipun kalau ketat sangat, nanti nak bagi makan apa pada anak isteri?’….
Saya tidak hairan andai ramai diluar sama masih berpegang pada pemikiran ’menegak benang basah’ itu. Disebabkan itulah Rasulullah sendiri pernah ’mengeluh’ :
“Akan datang suatu masa dimana orang-orang tak perduli darimana nafkah yang diambilnya, apakah dari hal yang halal atau dari yang haram”
(Riwayat Bukhari).
Kata-kata terakhir saya kepada golongan ini : buka-bukalah minda…. ikutlah ‘nasihat Allah’. Soal halal-haram rezeki tidak boleh dipandang remeh sebab ia memberi kesan amat besar, baik di dunia mahupun akhirat. Jika rezeki keluarga kita bercampur aduk halal & haram setiap masa, saya khuatir ia akan memberi impak negatif kepada perilaku, akhlak, psikologi, emosi & rohani mereka. Itu di dunia. Sedangkan di akhirat pula ada dua kemungkinan : samada ’lenggang-lenggok’ ke syurga tanpa hisab(walaupun ini yang dimahukan, tetapi ia kelihatan sukar dengan rezeki haram), atau ke neraka dengan menanggung segala siksanya.
’Kalau macam tu, tak apalah ustaz, celuplah dalam neraka setahun dua…lepas tu enjoylah dalam syurga selama-lamanya…’
’Boleh….. takda masalah, tapi cubalah test bakar jari kelingking dengan lighter dulu…kalau tahan lebih seminit, bolehlah berangan nak sewa rumah kos rendah sebelah mahligai Firaun dalam neraka jahannam nanti….’ Saya pulangkan ’paku buah keras’ kepada sesetengah orang yang ambil enteng soal neraka.
Ulama mengajar kita : tujuan akhir hidup bukannya ’transit di neraka kemudian daftar penduduk tetap syurga’, tetapi ’apa yang perlu saya buat dan apa yang perlu dihindari agar terus ’terbang’ masuk syurga tanpa hisab?’
Itulah tujuan hidup yang selalu kita lafazkan dalam doa selepas solat : ’fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah’ – win-win situation dunia-akhirat.
Kerana itulah, kita amat digalakkan untuk menyertakan doa-doa penerang hati ketika menyediakan rezeki halal kepada anak. Tanpa mengira lafaz doa yang anda panjatkan, samada ’Surah Alam Nasyrah, Robbish-rohli sodri…, 5 ayat awal Surah Toha atau selawat syifa’, semuanya bergerak menuju ke muara yang sama : Menggapai redho Allah.
Itulah kata kunci visi hidup kita sekeluarga.
’Genggamlah’ ia kuat-kuat, nescaya hidup kita berkat & selamat.
~SeMoGa hati KiTa SenTiaSa TaQaRruB DenGaN ALLAH s.w.t APabiLa KiTa DeKaT DeNgan Al-Qur'an~
~PeRkAra YaNg PaLing PentiNg SeKali iaLaH TuJuaN kiTa MeNgHafaz Al-Qur'an TeRSebuT AdakaH BetuL-BeTul KeRANA Allah ATaupun UnTuk TujUan-TujUan Lain SePerTi sUpaYa di PanDaNg TinGgi oleh Orang Lain Atau Di AnGGaP oraNg AliM. SenTiasalah MenjaGa NiaT KiTa aGar KiTa mamPu meNghafAz Ayat al-Qur'an dengaN mUDaH daN meNDaPat KeberKatan Oleh Allah s.w.t~
~SaAt, WakTu DaN KetiKa~
~Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh serta nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran (Surah Al-'Asr)~
~HARGAILAH SAAT, WAKTU DAN KETIKA ANDA~
~DALAM JALAN MENGGAPAI REDHA ALLAH~
~AMIN~