Dalam zaman pertembungan tamadun dan budaya seperti mana yang wujud pada zaman globalisasi masa kini, Islam jika hendak dijadikan panduan pilihan yang bermakna, harus dari segi perbincangan di peringkat ilmu, mampu diutarakan oleh ahli ilmuwan Muslim sebagai yang paling sempurna, canggih dan sesuai dalam menyusun kesemua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara di zaman sekarang dan seterusnya di masa hadapan. Pendekatan dan ramuan Islam dalam kesemua aspek penyusunan dan pengendalian bernegara perlu diketengahkan semoga ia mampu menjadi panduan kepada kepimpinan negara melaksanakannya.
Tidak memadai, ahli ilmuwan Muslim hanya mampu mencari kelemahan kepada pendekatan yang sedia ada. Mereka patut mengemukakan pilihan kepada pendekatan Islam dengan cara yang lebih terperinci, mendalam dan yang boleh dilaksanakan. Dengan cara yang sedemikian Islam akan mampu berperanan mempengaruhi corak hidup individu dan masyarakat.
Di samping kebangkitan kesedaran kepada Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka akan menjadi kawasan yang paling maju di dunia pada Abad 21 ini. Jika arah haluan pertumbuhan ekonomi di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada abad ini, kawasan Asia Pasifik akan dapat menghasilkan lebih dari satu perlima Keluaran Negara Kasar (KNK) dunia, sama besar dengan saiz KNK di Eropah dan KNK di Amerika Utara.
Suasana di mana kemajuan ekonomi menjadi kenyataan, negara-negara umat Islam perlu pandai merebut peluang dan tidak tercicir dalam arus kebangkitan tersebut. Yang akan menjadi lebih menarik jika panduan Islam diguna pakai dalam menerajui negara dalam suasana tersebut.
Dalam menangani perkembangan tersebut, negara yang didiami oleh majoriti umat Islam di kawasan Asia Pasifik, kepimpinan negara perlu menggubal satu corak pembangunan negara yang syumul dan berkesan. Pendekatan tersebut mesti diasaskan kepada nilai kemanusiaan dimana pendekatan Islam sudah pasti dapat menjadi panduan.
Dalam suasana semasa dan masa hadapan, kepemimpinan negara oleh itu perlu memiliki beberapa ciri yang membolehkan mereka membawa negara Malaysia maju kehadapan. Di antara ciri-ciri tersebut adalah berikut:
Pertama, pemimpin negara perlu mendokong fahaman yang luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara.
Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela. Sejarah telah membuktikan dan keadaan semasa jelas menyokong pandangan ini bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan tersebut di sesebuah negara.
Sifat-sifat mulia tersebut sangat terserlah dikalangan kepimpinan Khalifah al-Rashidin dan Khalifah Umat Abd Aziz. Punca keberkesanan dan kejayaan kepimpinan mereka adalah bermula dengan penghayatan sifat-sifat tersebut.
Kedua, kepimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap yang berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru itu sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman yang jitu yang didokong oleh Arahan Illahi.
Dalam zaman semasa kita dapati sistem pengendalian negara yang berasaskan sistem kefahaman yang tidak mantap dan tidak menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan dan menimbul berbagai bentuk gejala kepada masyarakat negara terbabit. Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Begitu juga tamadun sekular Barat yang diasaskan kepada ideologi Liberal Kapitalis. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya turut bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.
Sejarah telah membuktikan dan begitu juga keadaan yang terdapat sekarang, bahawa sesebuah negara yang mencapai taraf perekonomian yang maju tidak akan dapat mengekal kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai dengan kekuatan nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti amalan rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya dalam masyarakat adalah fakta-fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.
Oleh itu negara mesti berusaha dengan gigih melalui sistem pendidikan negara dan segala bentuk sebaran media, samada media cetak atau media elektronik semoga kesemuanya berperanan secara berkesan membina ahli masyarakat yang memiliki pandangan hidup, penghayatan akhlak dan penguasaan kemahiran hidup yang sempurna.
Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui negeri dan negara. Kejayaan untuk membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Al-Rashidin adalah bukti yang nyata. Pada satu kajian yang dibuat oleh Professor P.Kotter dari Harvard Business School, 80% kejayaan sesebuah organisasi termasuk sesebuah negara bergantung rapat dengan mutu kepimpinan.
Dalam zaman semasa yang penuh dengan cabaran dan persaingan, seseorang pemimpin perlu memahami suasana di dalam negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat, dan sumber negara. Mereka harus mampu mengembeling kesemua lapisan rakyat untuk memajukan ekonomi ke peringkat yang tertinggi. Kesemua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang paling tinggi dalam usaha pembangunan tersebut.
Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa.
Dalam zaman globalisasi, samada kita mahu atau tidak mahu, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika negara berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa. Oleh itu setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa.
Kepemimpinan negara Islam, justeru itu, tidak boleh memisahkan diri mereka dengan ajaran Islam. Untuk maju dan berjaya di peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan yang syumul dengan berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi corak pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.
Sebagai umat Islam kita yakin bahawa kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam dalam menyusun dan membangunkan negara adalah kerana ia menepati fitrah kemanusiaan. Mana-mana pendekatan dalam menyusun dan memajukan masyarakat dan negara yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan yang negatif di alam akhirat.
No comments:
Post a Comment